Thursday, October 8, 2015

Apa Itu Pembedahan ACL?

11/9/2015-Jumaat, di Hospital Kuala Lumpur. Pembedahan berlangsung selama 5 jam. (Masa pembedahan adalah mengikut kecederaan masing-masing. Suami saya, meniscusnya terkoyak agak banyak, (kecederaan sekunder). Doktor hampir surrender melakukannya. Tapi alhamdulillah, berjaya dilakukan).
 
Alhamdulillah juga, syukur kepada-Nya, hari baik, Jumaat, segalanya dipermudahkan. Subhanallah....
 
Alhamdulillah, semuanya dah selamat, cuma perit menjalani kehidupan selepas pembedahan, apa pun tak boleh. Lepas operate, di hospital, aktiviti semuanya di katil. Alhamdulillah sentiasa dipermudahkan-Nya. Nasihat doktor, suami saya tidak dibenarkan berpijak kaki dengan kuat/tidak terlalu memberat. Sokongan keluarga adalah perlu kepada pesakit selepas pembedahan, supaya mereka akan bersemangat untuk pulih kembali.
 
Insya-Allah, sebagai isteri, saya telah melakukan yang terbaik untuk suami saya, ecehcehcehhh ... isteri mithali gituu. Ahaks!
 
 

Jom kita kenali asecara ringkas apa itu ACL. Maklumat lebih lanjut boleh google, kepada mereka yang berhajat melakukan pembedahan ini, sila rujuk dotor yang pakar ya. HKL, insya-Allah terbaik, kerana di sini ramai pakar.
 
APA ITU ACL?
 
Lutut merupakan sendi penghubung di antara tulang paha (femur) dan tulang betis (tibia). Ligamen adalah struktur pada lutut yang memegang tulang femur dan tibia dan menolong mengawal pergerakan sendi.
Terdapat dua ligamen yang berada di tengah lutut iaitu anterior cruciate ligament (ACL) dan posterior cruciate ligament (PCL).
ACL adalah salah satu ligamen terpenting pada lutut. Ia berfungsi untuk mengawal sejauh mana tulang tibia bergerak ke hadapan, relatif kepada tulang femur.
Jadi, ACL adalah penting bagi mengelak pergerakan yang terlalu ke hadapan yang boleh menyebabkan kecederaan pada struktur lain dalam lutut.
Lazimnya, kecederaan ACL berpunca dari pergerakan memusingkan badan secara tiba-tiba dan perlanggaran fizikal.
Ia selalunya berlaku pada sukan-sukan seperti bola sepak, futsal, badminton, sepak takraw, ragbi, bola keranjang dan bola jaring.
Selain aktiviti bersukan, kecederaan di tempat kerja dan kemalangan jalan raya juga boleh mengakibatkan kecederaan ACL.
Siapakah yang memerlukan pembedahan ACL?
Ini merupakan soalan yang sukar dijawab dan jawapannya hanya boleh didapati selepas anda berbincang dengan doktor pakar ortopedik anda.
Biasanya, keputusan untuk menggantikan ACL dibuat berdasarkan kepada beberapa faktor berikut:
* Umur dan tahap aktiviti fizikalnya
* Kecederaan lain pada lutut yang sama dan bersangkutan dengan ACL seperti meniskus terkoyak atau rawan yang tercedera.
* Tindak balas pemulihan pesakit
* Tahap ketidakstabilan dan simptom yang dialami pesakit seperti kesakitan, lutut kerap membengkak.
Oleh itu, keputusan perlu dibuat bersama oleh pesakit dan pakar ortopedik secara individu berdasarkan kepada keperluan pesakit dan cara hidup beliau.
ACL yang koyak tidak boleh sembuh dengan sendiri atau dijahit semula. Ia perlu digantikan dengan tisu lain pesakit yang boleh mengambil alih fungsi ACL yang asal.
Tujuan pembedahan di atas adalah supaya tisu yang menggantikan ACL tumbuh pada kedudukan yang sama dengan ACL yang lama dan dengan itu dapat berfungsi sebagaimana biasa.
Matlamat selepas pembedahan, pesakit akan mendapat lutut yang kuat dan stabil serta berupaya membengkokkan lutut secara penuh.
Kebanyakan atlet profesional telah menjalani pembedahan tersebut dan berjaya kembali aktif meneruskan aktiviti sukan masing-masing seperti biasa.
 
MINGGU PERTAMA SELEPAS PEMBEDAHAN
Program rehabilitasi (pemulihan kpd keadaan yg dahulu) bertujuan mengurangkan kesakitan dan bengkak lutut selepas pembedahan disebabkan oleh pendarahan. Pesakit akan dilatih untuk meluruskan lutut dengan senaman yang sesuai.
Senaman seperti mengangkat kaki secara lurus dan kuadriseps statik adalah penting dimulakan awal supaya lutut tidak akan mengeras dalam keadaan bengkok.
Senaman tersebut juga membantu merangsangkan kuadriseps untuk menjadi kuat dan mengembalikan saiz dan kekuatan asal otot tersebut.
Dalam fasa ini juga pesakit akan dilatih untuk membengkokkan lutut secara berperingkat-peringkat menggunakan senaman yang sesuai dan peralatan seperti pergerakan pasif berterusan (continuos passive motion/CPM).
Pelbagai kaedah senaman dan peralatan akan diajar dan digunakan oleh ahli fisioterapi bagi mencapai matlamat di atas.
Kedua-dua fasa di atas adalah penting untuk mengelakkan otot paha daripada mengecut dan mendapatkan kembali pergerakan lutut untuk membengkok.
Pesakit perlu memberikan kerjasama yang baik dan mempunyai keazaman yang kuat untuk kembali aktif.
Sesi fisioterapi adalah penting supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti oleh doktor dengan awal dan fisioterapi boleh menggunakan kaedah peralatan dan senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.
Pesakit akan dibimbing oleh fisioterapi supaya melakukan senaman dengan teknik yang betul dan sesuai.
Selepas rawatan fisioterapi di hospital, pesakit juga perlu melakukan senaman di rumah mengikut kaedah dan bilangan ulangan senaman yang diajar.
Jika teknik yang betul dan bilangan yang diarahkan dibuat oleh pesakit, peralatan seperti perangsang otot-otot elektronik tidak diperlukan untuk menguatkan otot.
Pesakit perlu berbincang dengan doktor jika masih sukar untuk membengkokkan atau meluruskan lutut walaupun telah menjalani program rehabilitasi yang lengkap.
 
TEMPOH/MASA

Purata hari berada di hospital adalah dalam lingkungan tiga hingga lima hari. Dua minggu dalam tempoh pemulihan (selepas pembedahan), jahitan akan dibuka dan pada masa yang sama pesakit perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.
Penggunaan tongkat selepas pembedahan rekonstruksi ACL bergantung kepada ketahanan pesakit kepada kesakitan.
 
Selalunya penggunaan tongkat dalam dua hingga empat minggu, proses fisioterapi boleh dijalankan secara rawatan pesakit luar.
Pesakit boleh mula berjoging selepas tiga bulan dan aktif semula bersukan selepas enam bulan. Proses di atas boleh diguna pakai sekiranya tiada komplikasi-komplikasi lain dalam proses rawatan ACL, termasuklah jika tiada kecederaan sekunder.
Ujian imbasan sinar-X dan imbasan MRI adalah disarankan untuk memastikan kecederaan ACL tersebut di samping MRI juga boleh mengesan kecederaan sekunder yang mungkin ada pada lutut terbabit.
 
KOS
 
Kos pembedahan adalah agak tinggi di hospital swasta atas sebab-sebab tertentu iaitu kos implan yang digunakan agak mahal (bahan import), di samping ubat-ubatan dan fisioterapi yang tidak disubsidikan boleh mencecah belasan ribu ringgit.
Kos di hospital kerajaan adalah lebih murah tetapi berkemungkinan terdapat kos-kos tertentu yang perlu dibayar oleh pesakit seperti kos implan dan sebagainya.
Dapatkan penjelasan dari pakar di hospital kerajaan untuk penjelasan lanjut tentang kos-kos berkenaan.

Ditulis oleh:
Datuk Prof Mustaffa Embong
Pakar Perunding Bedah Ortopedik,
Hospital Pakar Shah Alam

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
 
Ingatan untuk diri, sesama kita juga:
Sentiasa berfikiran positif, insya-Allah hasilnya juga positif, sentiasa bersangka baik, insya-Allah sentiasa dipermudahkan-Nya. Yakin, perancangan Allah itu sebaik-baik perancangan. Sebagai hamba-Nya, sentiasalah bersyukur. Semoga kita semua di bawah rahmat Ilahi.
Walau apa yang terjadi pada diri/famili kita, sentiasa ingat Allah. Dirikanlah solat walau dalam apa jua keadaan, Islam itu mudah, indah.  
 
Moga cepat sembuh En. Hanapi ... ai dan anak-anak dah bergetar2 nak g jalan-jalan ni. Insya-Allah....

1 comment:

Iela Fazielah said...

insyaallah....cepat sembuh hendaknyer... kena rajin pergi fisio....tp kompom lepas ni kaki kecik sebelah....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...