Tuesday, August 17, 2010

Dalam Kebahagiaan, Ada Kesayuan

-Diam tak diam, Ramadan 2010 merupakan Ramadan kelima aku bergelar isteri kepada Mr.Hanapi, tahun keempat menjadi ibu kepada Muhammad Iman Haziq dan tahun kedua menjadi ibu kepada Muhammad Adam Wafiy, sekali gus, tahun keempat menjadi ibu kepada kedua-dua permata hati ini. Alhamdulillah, memanjat rasa kesyukuran kepada Maha Pencipta, dianugerahkan kebahagiaan dan kesihatan kepada kami. Alhamdulillah, masih diberi nafas untuk menghirup udara di atas muka bumi ini. Rasa syukur kepada-Mu Ya Allah kerana masih diberi peluang bersama-sama keluarga tersayang, ma, ba, adik-beradik, dan sanak saudara yang lain. Syukur Alhamdulillah. Semoga Ramadan bulan mulia ini, diberi keberkatan oleh-Nya dan dapat menyempurnakan ibadah ini. Insya-Allah.
-Dalam pada meniti kebahagiaan, tidak kulupa kepada yang telah pergi. Tahun kedua pemergian mok (nenek sebelah ba), menghadap Ilahi. Umurnya yang menjangkau 80, badannya yang kecil, tetapi masih diberi kekuatan oleh-Nya, tiba2 terkulai layu di bilik peraduan, sangat mengejutkan kami kaum keluarga. Semoga arwah tenang di sana, di sisi Maha Pencipta.
-Ramadan dan Syawal yang akan menjelang ini juga merupakan tahun pertama pemergian tuk ayah (datuk sebelah ma). Pemergian arwah sangat tenang. Walaupun kurasa terkilan tidak sempat bertemu dengan arwah, namun, doaku sentiasa mengiringi arwah. Hari raya pertama pasti kami akan berkumpul di rumah tuk ayah, sambil mendengar omelan arwah yang beitu begini tentang anak cucu. Dan, kek kukus buah ialah kegemarannya, pasti dihulurkan oleh ma kepadanya di pagi raya.
-Kepada Nurain Mohd Nor, kakak keduaku, yang telah menemui-Mu selepas beberapa hari dilahirkan, ku sentiasa mendoakan untuk arwah ... teringin untuk bertemu arwah, walaupun dalam mimpi.
-Al-fatihah kepada mereka, sanak saudara, muslim dan muslimat yang telah pergi menghadap Ilahi. Sesungguhnya, daripada Dia kita datang, dan kepada-Nya kita kembali.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...